ALIAS YUSSOF: Mencari Titik Diam dalam Kusut.

Mencari parking kereta di area HARTA Space Ampang memang payah. Datang pula time launch hour, elok. Tiga kali pusing akhirnya masuk dalam Ampang Point baru jumpa, itu pun kena pusing dulu dalam kawasan parking basement. Resah dibuatnya.

Sampai di ruang pameran, saya berjalan perlahan sambil melihat-lihat barisan karya “DI ANTARA | BETWEEN” oleh Alias Yussof https://www.facebook.com/share/1DbdNNgvgB/. Resah cari parking belum reda karya yang di pamerkan pula serabut. 

Perkara pertama yang menampar anak mata saya adalah sebuah kejutan visual. Permukaan karyanya kelihatan kotor, comot, dan sarat dengan ketegangan. Terdapat sapuan dan percikan bitumen yang pekat, bersilang tindih dengan sapuan spontan cat minyak yang seolah-olah bertelingkah secara tidak sengaja di atas permukaan kanvas. Saiz karya juga pelbagai, ada segi empat sama, segi empat tepat dan memanjang amat panjang yang melebihi saiz lukisan biasa.

Sebagai pengunjung, saat awal menatap karya-karya ini, dada terasa sedikit lemas dan sesak. Pengulangan kesan-kesan rawak yang padat itu seolah-olah mencuri kompas saya, seakan hilang arah, berpusing-pusing mencari di mana titik mula untuk membaca sebuah cerita dalam pameran ini. Ditambah pula dengan pilihan warna merah yang membara dan biru yang dalam, semuanya disulam berlapis-lapis antara bahan seni biasa dan bahan asing.

Bagi saya, ini bukan sekadar coretan visual. Mungkin ini adalah jeritan tentang realiti kehidupan zaman ini. Sebuah refleksi tentang dunia yang serba laju, manusia seolah-olah ditekan untuk menyelesaikan semua perkara dalam satu masa, lantas meninggalkan kesan jiwa yang huru-hara dan bercelaru.

Namun, di tengah-tengah kecamukan bitumen yang hitam dan pekat itu, Alias Yussof menghadirkan subjek awan. Kehadirannya bertindak sebagai sauh emosi, mengimbangi antara huru-hara duniawi dan ketenangan batin. Sifat awan yang damai memberi nafas segar kepada dada yang sempat sesak tadi. Seolah-olah teguran halus agar kita berhenti dan diam.

Situasi supaya tenang ini mengingatkan saya kepada pesanan tokoh pemikir islam iaitu Imam Al-Ghazali, mengenai konsep keindahan. Beliau membahagikan keindahan kepada dua dimensi: keindahan luaran yang boleh dinilai oleh mata kasar, dan keindahan dalaman yang hanya boleh ditangkap oleh ketajaman rasa atau mata hati.

Jika kita hanya melihat dengan mata fizikal, kanvas Alias Yussof mungkin kelihatan kotor dan bercelaru akibat calitan tar jalanan. Namun, Al-Ghazali mengajak kita melihat melampaui rupa fizikal tersebut. Kehitaman bitumen melambangkan sisi hidup yang sarat dengan beban dan kekhilafan di bumi, manakala awan putih yang memayungi di antaranya memberikan rasa teduh dan tenang. Di sebalik anarki visual tersebut, wujud aturan kedamaian yang sedang memanggil kita untuk pulang dan bertenang.

Menelaah karya Alias Yussof tidak boleh dilakukan secara terus dan satu arah sahaja. Seperti yang pernah dibincangkan oleh cendekiawan seni Islam, Seyyed Hossein Nasr menyatakan seni yang mendalam tidak dibina berdasarkan rupa luaran sesuatu objek, tetapi berdasarkan hakikat di sebaliknya. Nasr menyifatkan seni sebagai “alat bantu” untuk kehidupan rohani, seperti sebuah anak tangga yang membantu memandu emosi manusia ke tempat yang lebih tenang.

Awan sifatnya abstrak terdapat dalam semua karya-karya beliau. Ia bertindak sebagai sebuah jambatan visual. Berdiri di hadapan kanvas yang sibuk dan berlapis-lapis ini, ego sebagai manusia moden yang kononnya serba tahu mula dicabar. Kekusutan visual itu sebenarnya adalah satu ujian focus, mampukah kita mencari titik “diam” di dalam diri di tengah-tengah pemandangan yang bising dan berserabut? Proses menghayati karya ini akhirnya berubah menjadi sebuah proses menyaring kekacauan luar demi melihat ke dalam diri sendiri.

Langkah saya terhenti paling lama di hadapan satu karya yang berjudul ‘Gumpalan Mimpi di Lembah Sunyi’. Judulnya sendiri sudah membawa satu berat emosi yang aneh, dan visualnya memaksa saya untuk berdiri diam, terpaku dalam ruang renungan yang mendalam.

GUMPALAN MIMPI DI LEMBAH SUNYI: 2023, Acrylic, Bitumen & Oil on Canvas, 120 x 150cm

Pada bahagian atas kanan dan bawah kiri kanvas, bitumen hitam pekat menguasai ruang belakang seolah-olah sebuah langit malam yang teramat misteri, luas, dan tidak berpenghujung. Di antara kepekatan tar yang menekan itu, terdapat gumpalan awan putih yang berkumpul secara horizontal. Awan ini tidak statik, seolah bergerak. Terhasil daripada kesan sapuan berus yang seolah berpusar mencari tenaga, mencipta bentuk awan yang berlapis-lapis dan dinamik. Di celah-celah lapisan awan yang bergolak itu, terdapat lelehan warna merah yang jatuh merembes. Ia memberikan kesan dramatik seumpama rintihan, luka, atau sisa amarah yang sedang ditenangkan oleh kelembutan awan.

Apa yang paling menyentuh rasa saya ialah apabila mata beralih ke sudut kiri bawah kanvas. Di situ, terdapat kesan sapuan yang jelas dilakukan terus menggunakan tangan sang pelukis. Jejak fizikal ini terasa sangat intim. Ia membuktikan bahawa dalam menghasilkan karya ini, Alias Yussof tidak meletakkan jarak antara dirinya dan mediumnya. Beliau menyentuh langsung ‘kekotoran’ tar itu. Tindakan menyapu tar dengan tangan kosong ini terasa seperti sebuah penyerahan diri. Tanda pengakuan seorang manusia yang sedang menggaul kembali debu-debu kehidupannya.

Keseluruhan ruang lukisan ini dibina dengan pendekatan atmospheric perspective yang sangat berjaya. Melalui manipulasi ton kegelapan bitumen di latar belakang dan lapisan awan putih di hadapan, beliau mencipta ilusi kedalaman ruang yang seakan-akan tidak bertepi. Di bawah biasan lampu galeri, kesan minyak pada permukaan kanvas memantulkan kilauan samar yang hidup, mengunci saya untuk mengakui kegelapan dalaman sebelum mampu melihat cahaya ketenangan.

Menyusuri pameran Alias Yussof bukanlah sebuah kembara untuk menilai kecekapan teknik sahaja, melainkan ia sebuah perjalanan untuk melihat keadaan diri sendiri. Antaran Judul-judul karya beliau yang puitis seolah-olah menjadi bait-bait pesanan yang bertingkat. Kita dibawa mendengar Deburan Rindu yang Memuja yang berkecamuk di dalam dada, lalu dididik untuk pasrah dan memberi manfaat melalui seruan Jadilah Langit, Jadilah Awan, Bawalah Hujan. Apabila semua emosi ini dibawa mendepani Gumpalan Mimpi di Lembah Sunyi, kepekatan bitumen itu tidak lagi menakutkan, ia bertukar menjadi ruang pengasingan yang damai. Tempat di mana kita akhirnya menemui Secerah Asa yang Tidak Pernah Pudar.

Antara yang menarik lagi, berlaku satu kekusutan visual yang keterlaluan dalam karya karya beliau, sehingga sukar mencari “ruang kosong” di atas kanvas yang di pamerkan. Ini adalah sebuah hujah visual yang sangat bijak. Alias Yussof seolah-olah mahu menegaskan satu hakikat bahawa ruang kosong, ketenangan, dan titik diam itu tidak perlu dicari pada dunia luaran, tetapi harus dibina sendiri di dalam hati nurani kita. Kita diajak untuk membersihkan hati daripada kesibukan duniawi yang melekit seumpama tar, agar jiwa kita benar-benar bersedia menerima ketenangan yang tulen.

Saya tidak pulang sebagai penonton yang sekadar mengagumi rupa fizikal sebuah lukisan, tetapi pameran ini menghantar saya pulang sebagai manusia yang harus menjaga mata hatiNya. Kanvas-kanvas yang comot dengan bitumen ini telah melaksanakan tugasnya. Menegur jiwa yang sarat dengan kekacauan duniawi agar tunduk diam, bertenang, dan kembali memandang kepadaNya. Tafakur adalah jalan keluar.

REFERENCES

https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/129019/1/129019.pdfhttps://ir.uitm.edu.my/id/eprint/129019/1/129019.pdf

Nasr, S. H. (1987). Islamic art and spirituality. State University of New York Press.