AHMAD SHUKRI: Kronologi Adab antara Detik dan Waktu

Melangkah masuk ke ruang SARENG Gallery pada minggu lepas, pengunjung disambut oleh karya berjudul Mawar buat Serikandi (2025–2026). Gaya visualnya menyerupai poster kedai pakaian vintaj, seolah-olah memberi tanda awal adanya pergolakan masa dalam pameran ini.

Di sebelah kiri ruang tersebut terdapat karya Asas Kebudayaan Kebangsaan (2024), manakala di sebelah kanan pula terpampang karya BACALAH (2026). Melangkah ke sebalik pembahagi dinding bermula dari BACALAH (2026), pengunjung akan disapa oleh lukisan Hidup kamu itu, Jangan sampai terlihat adanya DIRI (2020–2025).

Langkah diteruskan untuk melihat karya Menara Cinta ‘Tanah Airku’ (2026), yang kemudiannya disusuli oleh karya Cahaya dari Bukit Tursina (2025–2026), serta karya instalasi 2D bertajuk Potret Kelas (2020–2026). Seterusnya, perhatian dialihkan kepada lukisan Jangan Diusik Bintang di Langit (2025–2026), sebelum tersergamnya karya utama yang menjadi tarikan hebahan pameran di media sosial berjudul Rumah Ibu (2006–2026).

Melangkah ke sebelah kanan keterangan berkaitan pameran, tergantung karya Dari Tanah ke Tanah (2026), dan akhir sekali, ruang pameran dizahirkan dengan persembahan Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957–1963 (2025–2026).

Setelah sekian lama menyepi daripada pameran solo, kehadiran Ahmad Shukri Mohamed melalui pameran kesepuluhnya iaitu IlmuAdab, akhirnya dipersembahkan. Ia merupakan sebuah refleksi eksistensial yang mendalam. Jarak masa yang panjang untuk menyiapkan sesebuah karya, malah ada yang memakan masa bertahun-tahun. Ini bukanlah sekadar isu teknikal.

Ia adalah sebuah penyataan seni yang menterjemahkan tradisi ‘berhalus’ masyarakat Melayu sebagai simbolik kepada ketelitian yang penuh adab sebelum sesuatu keputusan atau gagasan visual dizahirkan. Pada masa yang sama proses ‘berhalus’ yang menuntut kesabaran waktu yang panjang ini hadir sebagai satu reaksi kritis terhadap pergantungan mutlak manusia moden pada kepantasan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ahmad Shukri kembali bersandarkan pada paksi ikonografi dan metafora yang menjadi kekuatannya sejak sekian lama. Pameran ini menjadi medan pertembungan antara “detik” impak sejarah dan tragedi yang berlaku, dengan “waktu” proses kematangan idea, lapisan fizikal material, serta kesabaran. Beliau tidak sekadar melukis, tetapi sedang melakukan satu arkeologi visual.

Seniman sebenarnya membawa kita bermusafir jauh ke masa silam, melebihi daripada garis waktu karya-karyanya dihasilkan. Mula perjalanan menjangkau 3,000 tahun sebelum konsep waktu moden disahkan. Detik purba ini bermula di puncak gersang Semenanjung Sinai melalui karya Cahaya dari Bukit Tursina (2025–2026).

Cahaya dari Bukit Tursina (2025-2026)

Lanskap sebenar Sinai adalah tandus tanpa tumbuhan menghijau. Bukit Tursina yang berbatuan keras melambangkan keteguhan perintah Tuhan yang mutlak yang telah turun di situ. Bagaimanapun, Ahmad Shukri menggambarkan ia penuh dengan hutan rimba yang hijau, tenang, dan damai. Di sebalik keteguhan perintah tersebut, terdapat rahmat kasih sayang Tuhan kepada makhluk-Nya yang perlu dituruti.

Artis telah melakukan penjajaran (juxtaposition) yang menarik menerusi format dua panel (diptych) ini. Panel kanan menampilkan teknik painting landskap hutan menghijau yang berlapis dan penuh dengan perincian flora, manakala panel kiri pula dipenuhi susunan bertindih blok-blok teks seperti ADAB, ZIKIR, AMANAH, dan PATUH yang disusun rapat seumpama batu bersurat moden dengan kesan jalinan (texture) yang timbul. Teks adab inilah yang menjadi kompas untuk manusia mendepani pancaroba era moden.

Dari Tursina, garis masa bergerak menuju abad ke-7 Masihi (610 M) di Gua Hira’ melalui karya BACALAH (2026). Kedua-dua peristiwa ini bermula daripada satu detik pengasingan diri (tahannuth) di kawasan pergunungan yang sunyi. Detik sunyi inilah yang akhirnya mengubah seluruh paksi tamadun dunia.

BACALAH 2026

Permukaan kanvas karya BACALAH ditampal dengan jalinan relief (relief texture) perkataan “BACALAH” yang bertindih tanpa henti. Warna hitam legam ini melambangkan kejahilan manusia, namun di tengah-tengah kegelapan itu, terdapat kesan cahaya halus yang menyuluh dari atas ke bawah, seolah-olah sinar matahari yang memancar. Teks “BACALAH” tersebut bertindak sebagai jambatan cahaya atau medium transendensi yang menghubungkan antara Pencipta dengan makhluk.

Naratif perjalanan kemudiannya beralih ke ruang waktu tempatan, membumi di Tanah Melayu melalui karya Hidup kamu itu, Jangan sampai terlihat adanya DIRI (2020–2025). Panel berwarna hijau zamrud yang sarat dengan jalinan relief huruf Jawi berlapis-lapis ini mewakili “waktu spiritual” yang tenang dan subur, sekaligus menjadi simbol kedamaian dunia sufi. Karya ini mengangkat biografi ulama tersohor Kelantan, Tok Kenali (1868–1933).

Jangan sampai terlihat adanya DIRI 2020-2025

Ungkapan pada tajuk karya pula merujuk kepada konsep fana’ dalam tasawuf, iaitu proses meleburkan ego dan keakuan diri yang tercela agar seorang hamba dapat menyerahkan seluruh kehendaknya kepada kehendak Allah SWT. Di sisi sebelah panel hijau, replikasi kulit buku lama terbitan Pustaka Aman Press bertulisan Jawi bertajuk “Sejarah Hidup: Tok Kenali” oleh Abdullah al-Qari Haji Saleh (Aghas) membangkitkan nostalgia “waktu sejarah” yang membentuk akal budi bangsa di institusi pondok.

Ahmad Shukri gemar menggunakan pengulangan panel (diptych) yang memisahkan antara blok teks dengan imej visual pada beberapa siri karya beliau. Teknik lapisan (layering) dan jalinan tekstur yang digunakannya melibatkan proses menampal, mengoyak, dan menyusun semula bahan kolaj secara berulang-ulang. Proses fizikal yang rumit dan memakan masa ini sebenarnya mewakili lapisan sejarah itu sendiri. Sejarah tidak dibina dalam satu ‘detik’ yang mudah, melainkan melalui ‘waktu’ yang menuntut ketekunan batin sang seniman.

Garis waktu terus bergerak membawa kita ke karya instalasi 2D bertajuk Potret Kelas (2020–2026), yang bertindak sebagai agen transisi kronologi ilmu yang sangat penting. Enam panel foto berbingkai klasik memaparkan potret guru dan pelajar sekolah lama yang berdisiplin di bawah sistem pendidikan konvensional era kolonial.

Potret Kelas 2020-2026

Namun, Ahmad Shukri meninggalkan persoalan yang tajam. Di bawah setiap foto, tergantung seunit papan hitam mini dan sebatang kapur yang dibiarkan kosong tanpa tulisan. Di sinilah seniman melontarkan kritikan kontekstual; adakah apabila kita beralih daripada sistem pondok tradisional kepada sistem konvensional yang serba moden, persoalan ilmu adab kita semakin kukuh?

Atau adakah sistem moden ini sekadar mencetak kepatuhan akademik, tetapi pada masa yang sama membiarkan “papan hitam jiwa” generasi muda kosong daripada asas nilai adab? Melalui naratif ini, perintah “Bacalah” dari Tuhan Sekalian Alam seharusnya berterusan di ruang sekolah ini demi kemakmuran sejagat.

Kelekaan manusia dalam membina modenisasi konvensional dikejutkan dengan karya Jangan Diusik Bintang di Langit (2025–2026). Panel kanan menunjuk ikonik asap malapetaka pengeboman bom atom. Garis masa sekitar tahun 1945. Di sinilah letaknya “detik” yang memusnahkan, di mana proses pembinaan adab dan ilmu yang memakan masa beratus tahun, ranap dalam sekelip mata akibat kerakusan manusia.

Jangan Diusik Bintang di Langit (2025–2026)

Artis telah memisahkan naratif ini secara dikotomi. Visual awan cendawan (mushroom cloud) di panel kanan menjadi monumen visual kepada kemuncak hilangnya adab akibat keegoan sejagat. Kontras dengan paparan tersebut, panel kiri memperlihatkan tulisan Jawi yang disusun secara terbalik, songsang, dan mustahil untuk dibaca.

Tulisan yang berselerak ini menjadi metafora yang tragis; bahawa apabila sains dan teknologi jika disalahguna mampu meranapkan kemanusiaan, maka runtuhlah seluruh sistem nilai, bahasa, dan adab dunia. Pada akhirnya, lukisan ini menyeru manusia untuk mendongak ke langit bagi mencari kembali panduan alam yang hakiki dan sumber inspirasi, kerana bumi yang dipijak kini telah diselubungi asap kemusnahan ego sendiri.

Selepas menelusuri igauan ngeri perang global, garis masa pameran dibawa kembali ke tanah air apabila Ahmad Shukri menyusun empat buah karya dalam satu naratif pasca-merdeka yang mengangkat tema penstabilan semula identiti bangsa. Dua karya utama, iaitu Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957–1963 (2025–2026) dan Menara Cinta ‘Tanah Airku’ (2026), berkongsi bahasa visual yang sama menerusi penerapan motif panel estetik tingkap bangunan Parlimen Malaysia hasil rekaan arkitek Ivor Shipley.

Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957–1963 (2025–2026)
Menara Cinta ‘Tanah Airku’ (2026)

Motif ini hadir sebagai simbol ikonik kestabilan, undang-undang, dan demokrasi. Namun, gabungan struktur parlimen tersebut dengan hamparan blok teks hitam yang mengandungi perkataan emosi serta moral seperti ASMARA, SETIA, SUKA, TABAH, AGAMA, dan RINDU (pada karya Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957–1963 (2025–2026) membuktikan bahawa pembinaan sebuah negara bukanlah sekadar kontrak sosial yang kaku. Melalui karya ini, Ahmad Shukri menegaskan bahawa sesebuah negara bangsa harus ditadbir dengan “adab dan kasih sayang”. Politik tanpa adab akan berakhir dengan tragedi seperti Hiroshima, manakala politik yang diisi dengan zikir nilai moral akan membuahkan kemakmuran.

Karya Dari Tanah ke Tanah (2026), meminjam estetika grafik buku Common Malayan Plants. Ikonografi buah durian sebagai hasil bumi melambangkan sektor pertanian sebagai nadi awal ekonomi negara pada waktu itu. Manakala tajuknya pula sarat dengan nuansa tasawuf: manusia dicipta dari tanah, makan hasil tanah, dan akhirnya akan kembali ke tanah. Ia menjadi sebuah peringatan tentang adab terhadap alam; bahawa pembangunan material tidak akan stabil jika ekologinya dirosakkan. Tambahan pula, pokok durian memerlukan waktu yang panjang untuk berbuah merupakan sebuah simbolik kepada kesabaran yang tinggi dalam membina sebuah negara.

Karya Dari Tanah ke Tanah (2026),

Akhir sekali, benteng jati diri dipasak melalui karya Asas Kebudayaan Kebangsaan (2024) yang merujuk kepada buku dasar terbitan tahun 1973. Digubal pasca-Kongres 1971, dasar ini bertindak seolah-olah “kepompong” perlindungan bagi anak muda agar tidak hanyut dibawa arus pemikiran Barat lalu meninggalkan jati diri asal. Kehadiran spesis rama-rama yang berterbangan di atas kanvas berona merah jambu dan ungu melambangkan transformasi serta kebebasan yang indah, namun terbangnya tetap terpelihara di dalam acuan nilai ketimuran.

Asas Kebudayaan Kebangsaan (2024)

Puncak daripada keseluruhan kembara kronologi waktu, tersergam utuh pada naskhah agung bertajuk Rumah Ibu (2006–2026). Karya yang mengambil masa selama dua dekad untuk disempurnakan ini menjadi sebuah manifesto kesimpulan yang mutlak. Kehadiran lakaran garang seekor harimau dan kemegahan simbol Jata Negara pada panel kayu sebelah kanan menegaskan dengan jelas identiti watan Tanah Melayu. Secara visual, struktur karya ini dibahagikan oleh panel-panel tegak dengan kehadiran pintu jeruji besi klasik (collapsible gate) yang ikonik—mengukuhkan metafora sebuah premis kediaman. Di bahagian tengah, hamparan panel hijau zamrud yang sarat dengan jalinan teks Jawi dan Rumi berselirat, berhampiran tulisan Jawi bertulis “Rumah Ibu”, seolah-olah menjadi dinding pancaran jiwa. Di sinilah segala-galanya bermula; bahawa ilmu dan adab tidak lahir di jalanan mahupun di dalam bangunan parlimen, melainkan ia bermula dan diasuh dari dalam sebuah rumah.

Rumah Ibu (2006–2026)

Karya berskala besar ini mengimbas kembali memori terhadap karya ikonik Ahmad Shukri pada era 90-an, iaitu Cabinet Series, namun kali ini konteksnya melangkaui materialisme domestik. Jika Cabinet Series membawa kritikan sosial terhadap materialisme, status sosial, dan identiti cetek masyarakat moden menerusi objek yang disusun dalam grid kotak, struktur grid tersebut kini telah berevolusi dalam Rumah Ibu.

Daripada sebuah kabinet yang kecil, ia kini menjelma menjadi sebuah ‘rumah’—sebagai asas paling utama dalam membina kemanusiaan. Malah, motif rama-rama dan kuntuman bunga raya yang mekar merah—yang dahulunya dalam siri Target Series mempersoalkan ancaman eksploitasi alam sekitar—turut kelihatan berterbangan di dalam ruang Rumah Ibu ini. Ini membuktikan kesinambungan pemikiran kritis beliau terhadap ekosistem yang lebih besar, iaitu sebuah kelangsungan adab yang tiada noktah.

Secara keseluruhannya, kembara visual yang dibentangkan oleh Ahmad Shukri dalam ruang intim SARENG Gallery Kuala Lumpur bukanlah sekadar sorotan sejarah yang statik, melainkan sebuah refleksi dinamik tentang putaran kompas adab manusia. Bermula daripada detik pengasingan diri yang penuh spiritual di puncak Tursina dan kegelapan Gua Hira’, garis masa ini bergerak merentasi runsingnya era kolonial dan igauan ngeri kemusnahan global, sebelum pulang membumi untuk membina identiti pasca-merdeka yang berdaulat.

Melalui Rumah Ibu, seniman melabuhkan tirai perenungan ini dengan satu kesimpulan yang tuntas: bahawa sebuah peradaban yang makmur, politik yang stabil, dan teknologi yang rahmah tidak akan mampu tegak tanpa akar adab yang dipasak dari dalam rumah.

Mawar buat Serikandi (2025–2026)

Meskipun kembara waktu seolah-olah berakhir di situ, naratif pameran ini sebenarnya melabuhkan tirainya secara puitis dengan membawa perhatian kita kembali kepada sebuah prolog yang ampuh—karya Mawar buat Serikandi (2025–2026). Naskhah yang menyambut kehadiran pengunjung di awal pameran ini rupa-rupanya merupakan tunjang yang wujud dalam setiap helaian arkeologi visual Ahmad Shukri.

Menerusi visual anggun sanggul rambut wanita klasik yang disisip sekuntum mawar, berlatarkan papan tanda kedai jahit nostalgik, karya ini berdiri sebagai sebuah penghormatan mutlak buat wanita. Melalui rahim seorang serikandi, lahirnya umat manusia yang bakal mencorakkan peradaban dunia merentasi masa. Karya-karya ini menjadi cermin besar buat masyarakat moden—sebuah peringatan bahawa dalam mendepani pancaroba masa hadapan, manusia harus sentiasa pulang kepada suluhan cahaya wahyu dan acuan nilai ketimuran demi kelangsungan kemanusiaan yang hakiki.

REFERENCES:

https://www.facebook.com/share/19bYd8FJ8f

https://www.instagram.com/ahmad_shukri_mohamed?stkn=bGM2c3A1ZHBhdTVk

https://www.thestar.com.my/lifestyle/culture/2026/09/15/malaysian-artist-explores-knowledge-at-its-roots-revealing-the-humanity-within

https://www.afkcollection.com/gallery/artist/ahmad-shukri-mohamed

https://www.facebook.com/share/1C7uD8SFZD